Hidup Bukan Hanya Untuk Diri Sendiri


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku mulakan coretan ini.

Pagi ini aku bangun. Alhamdulillah, aku masih bernafas. Untuk aku terus melalui hari-hari hidupku. Menghargai peluang yang diberi. Ya. Peluang. Hari-hari dalam hidup kita adalah peluang yang Allah hadiahkan. Peluang untuk bertaubat, peluang untuk berbuat kebaikan, peluang untuk terus berkasih sayang. Bukankah Allah sukakan hambanya yang berkasih sayang?

Kehidupan yang kita punya ini pada hakikatnya bukan kita punya. Kehidupan kita cuma pinjaman semata. Empunya alam ini yang memberi pinjam. Semuanya. Kehidupan yang kita rasa milik kita ini, pilihan kita, masa depan kita, takdir kita, sebenarnya bukan milik kita seorang. Dalam apa-apa pun yang kita buat pasti akan melibatkan orang lain. Hidup bukan hanya untuk diri sendiri. Pernah dengar kenyataan ini? Sesungguhnya dalam hidup kita akan ada orang lain, hak orang lain. Dalam bahagian kita ada milik orang lain.

Dalam kehidupan seharian, sedang kita sibuk menguruskan diri sendiri, pasti akan ada suatu masa di mana akan ada sesuatu yang menuntut perhatian kita. Seperti datangnya seorang teman meminta tolong mengajarnya dalam pelajaran. Kena pula pada waktu itu kita sedang sibuk menguruskan hal lain. Kita serabut. Lalu kita menolak permintaannya itu. Di situ kita telah menahan hak teman kita untuk mendapatkan ilmu. Boleh jadi dengan permintaan itu, sebenarnya Allah sedang menawarkan peluang untuk memudahkan urusan kita, tapi kita menolaknya mentah-mentah. Dan aku percaya, apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah akan mudahkan urusan kita.

Dalam kita sedang enak menjamu selera, datang seekor kucing meminta sedikit makanan. Terpulang kepada kita untuk memberi atau menghalau. Mungkin kita anggap ianya sesuatu yang remeh, tak penting pun. Namun, tanpa kita sedari ia sebenarnya adalah satu ruang dan peluang untuk kita berbuat kebaikan. Sesungguhnya, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Apa yang dikatakan milik kita, tidak semestinya akan menjadi milik kita. Duit yang berada di dalam dompet kita pun belum tentu milik kita. Kerana kadang-kadang ianya boleh menjadi milik orang-orang yang lebih memerlukan apabila kita bersedekah. Itulah yang dinamakan dalam rezeki kita ada rezeki orang lain.

Dalam kita menjalani kehidupan, ada hak-hak orang lain yang perlu kita tunaikan. Apabila kita hidup bermasyarakat, banyaklah hak-hak yang perlu kita penuhi. Hak ibu bapa kita, hak adik beradik kita, hak saudara mara kita, hak sahabat-sahabat kita, hak jiran tetangga dan hak masyarakat sekeliling kita. Apa yang perlu kita lakukan adalah menjalankan tanggungjawab kita terhadap mereka sehabis baik. Tanggungjawab sebagai seorang anak iaitu menghormati ibubapa dan mendoakan mereka. Tanggungjawab sebagai seorang sahabat, dengan berbuat kebaikan kepada mereka dan tanggungjawab sebagai seorang saudara se-Islam dengan mendoakan saudara yang lain, terutama yang sering ditindas seperti di Syria, Palestin dan banyak lagi. Tanggungjawab yang terakhir ini jarang kita laksanakan, kerana mungkin kita tidak merasa peritnya kehidupan mereka. Dan mungkin juga kita tidak merasa pentingnya persaudaraan ini, sedangkan Nabi pernah menyebut,

“Diriwayatkan dari Ibnu Umar, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Seorang Muslim itu adalah saudara Muslim yang lain. Oleh sebab itu, jangan menzalimi dan meremehkannya dan jangan pula menyakitinya.” (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Ada banyak lagi situasi-situasi dalam kehidupan kita yang mencerminkan hidup bukan hanya untuk diri sendiri. Hatta, kadang-kadang kita tidak pernah sedar tentang perkara tersebut. Mungkin kita tidak perasan, tetapi mengukir senyuman itu juga mampu menceriakan hari orang lain.

Sampai di sini dahulu coretanku kali ini. Satu yang aku ingin pesan kepada kamu dan juga diriku, laluilah hari-hari dalam hidup kita dengan berbuat sebanyak mungkin kebaikan, kerana kita tidak pernah tahu bila kita akan pergi bertemu Ilahi, kerana kita tidak tahu amalan mana yang akan membawa kita ke Syurga dan kerana hidup kita bukan hanya untuk diri sendiri.

Nukilan,

Izyan binti Abd Rahman.


No comments:

Post a Comment