KUASA 'MEMBERI'

KUASA ‘MEMBERI’
Oleh : Muhammad Zuhairi Abdul Ghapar




MEMBERI CONTOH
            Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam, maka ia akan memperoleh pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa dikurangi sedikitpun daripada pahala mereka dan sesiapa yang memberi contoh yang buruk dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang yang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa dikurangi sedikit pun daripada dosa mereka.” (Riwayat Muslim)

            Sebagai seorang pelajar, sewajarnya akhlak dan teladan yang luhur menjadi hiasan peribadi yang unggul dalam mencorak ummah sebagaimana yang telah ditonjolkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Seseorang itu tidak akan dikira berilmu sehingga dia beradab dengan ilmunya. Begitulah ketinggian adab yang patut kita ambil berat sebaiknya.

            Dalam satu hadis yang lain, Nabi s.a.w ada menyebut bahawa antara tiga perkara yang tidak akan putus selepas anak Adam meninggal dunia ialah sedekah jariah. Contoh teladan yang baik juga dapat memberikan pahala yang berterusan jika diamalkan oleh orang lain walaupun seseorang itu telah meninggal dunia dan ini termasuk dalam sedekah jariah.

            Oleh itu, berusahalah untuk menjadi individu yang terpuji kerana cerminan akhlak dan peribadi yang mulia akan menjulang kesejahteraan agama, bangsa, dan negara.

MEMBERI SALAM
            Daripada Anas r.a bahawasanya dia berjalan di kalangan beberapa orang kanak-kanak, lalu dia memberi salam kepada mereka dan katanya “Nabi s.a.w berbuat demikian.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

            Sunat memberi salam kepada sesama muslim tanpa mengira darjat, pangkat dan peringkat manakala menjawabnya pula adalah wajib. Kemuliaan seseorang tidak akan terjejas langsung apabila dia memberi salam kepada orang yang rendah martabat daripadanya bahkan bertambah haibah (kehebatan) dirinya.

            Sesungguhnya salam itu amat mulia yang hanya dikurniakan oleh Allah kepada orang Islam sahaja. Namun, dunia hari ini telah menjadikan salam itu sebagai satu bahan ketawa yang telah melarikan ia daripada maksud asalnya.

            Ingatlah ketika Nabi s.a.w menyampaikan salam Allah kepada isterinya Saidatina Khadijah, lantas beliau mengucapkan :

اللهم أنت السلام ومنك السلام وإليك يعود السلام فحينا ربنا بالسلام وأدخلنا الجنة دار السلام تباركت ربنا وتعاليت يا ذا الجلال والإكرام

Dan ucapan beliau ini telah dijadikan wirid selepas solat di negara kita.

MEMBERI ILMU
            Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (diletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada hari kiamat”. (Riwayat Abu Daud & at-Tirmizi)

            Islam sangat menghargai ilmu dan ulama, sehingga kedudukannya amat tinggi dan mulia dalam parameter Islam. Tuntutan menuntut ilmu adalah fardhu ain (wajib) bagi setiap muslim kerana Islam tidak mahukan penganutnya bekerja dan beramal secara taqlid (mengikut-ikut tanpa tujuan).

            Ilmu jika disebarkan tidak akan berkurang sedikitpun bahkan semakin berkembang konsep perbahasannya. Lain pula dengan harta, semakin dibelanja semakin berkurang. Kata Imam al-Syafie, “Sesiapa yang inginkan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang menginginkan kedua-duanya hendaklah juga dengan ilmu.”

KEBAHAGIAAN MEMBERI
            Daripada Abu Said al-Khudri r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa dia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan syurga, dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa dia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. Dan mana-mana mukmin yang memberi pakaian kepada seorang mukmin semasa dia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya daripada pakaian syurga.” (Riwayat at-Tirmizi)

            Hadis di atas menyarankan kita agar memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam keperluan asasi. Amalan ini akan menjamin kedamaian hidup manusia. Ketika orang lain memberikan bantuan kepada kita, terimalah bantuannya dengan hati yang ikhlas diiringi dengan senyuman dan ucapan terima kasih. Berusahalah membalasnya mengikut kemampuan masing-masing. Nabi s.a.w bersabda, mafhumnya, “Jika seseorang memberikan pertolongan, maka balaslah mengikut kemampuan sehingga kalian merasa telah membalasnya, dan jika tidak mampu, doakanlah ia dengan ucapan :

جزاك الله خيرا

            Berusahalah untuk lebih banyak memberi daripada menerima. Namun, apabila tibanya suatu masa untuk menerima, terimalah dengan hati yang tulus tanpa rasa rendah diri dan bertekadlah untuk membalasnya. Sesungguhnya saat kita menerima sesuatu, sebenarnya kita sedang belajar untuk memberi sesuatu.

MEMBERI ADALAH MENERIMA
            Terdapat banyak ayat al-Quran yang menceritakan perhitungan balasan bagi setiap perbuatan yang dilakukan anak-anak Adam. Perbuatan baik dan buruk setiap satunya akan dibalas dengan adil. Memberi dalam Islam termasuk zakat, infak, sedekah, amal soleh dan lain-lain. Apabila kita memberi kita juga sedang menerima sesuatu iaitu pahala atau dosa.

            Sesungguhnya kita tidak perlu menunggu kiamat untuk merasa betapa nikmatnya pahala dan azabnya dosa. Sekarang ini juga kita boleh merasa kenikmatan pahala dalam bentuk kepuasan jiwa, kebahagiaan dan ketenangan hati. Tidak akan ada orang yang jatuh miskin akibat memberi, dan tidak akan ada orang yang hilang senyuman bahagia kerana sering memberikan senyuman kepada orang lain. Oleh itu, sematkanlah ‘memberi’ dalam diri kita.
Selamat beramal!!!!
...................................................................................................................
Muhammad Zuhairi Abdul Ghapar
23 Mei 2017


*Sebarang komen atau cadangan boleh berhubung dengan penulis di muzbag_hifz@yahoo.com

No comments:

Post a Comment