Nikmatnya Bersyukur, Indahnya Bersabar





Syukur dan sabar adalah dua hal penting yang harus selalu kita amalkan dalam menjalani kehidupan. Syukur, suatu kata yang memberikan makna yang sangat besar. Allah telah menjamin dalam Al Quran, barang siapa yang bersyukur maka Allah akan menambah nikmat kepada orang tersebut.

Saat memperoleh hal yang menyenangkan, bersyukurlah atas pemberian Allah itu. Namun di saat kita memperoleh hal yang tidak diinginkan, bersabarlah. Kerana segala sesuatu yang Allah berikan, seburuk mana pun perkara itu bagi kita, pasti ada kebaikan dan hikmah yang tersimpan di sebaliknya.

Sungguh indah Allah menciptakan rasa syukur dan sabar dalam diri kita. Keduanya jika disatukan akan membentuk kekuatan yang luar biasa. Kekuatan yang akan membuat kita selalu merasa bahagia dalam menapakkan kaki menyusuri jalan kehidupan yang penuh dengan liku-liku ini.

Ketika kesenangan datang menghampiri, rasa syukur akan menjadikan kita selalu ingat pada Allah Yang Maha Pengasih. Ketika kesulitan datang menerpa, kesabaran akan menahannya sehingga kita tidak terjatuh ke dalam jurang putus asa.

Begitulah syukur dan sabar saling melengkapi. Keduanya akan menuntun kita menjadi manusia yang mulia.

Syukur akan menjadikan kita rendah diri dan tidak sombong atas segala yang dimiliki. Kerana kita tahu bahawa itu semua hanyalah titipan atau pinjaman, yang suatu saat akan kembali diambil oleh Allah.

Sabar akan menjadikan kita hamba yang selalu bertawakkal. Menyerahkan diri kepada Allah atas semua yang terjadi. Kerana segala sesuatu yang terjadi pada diri kita adalah atas kehendak Allah. Terimalah semuanya dengan lapang dada. Berusahalah untuk mengambil hikmah yang Allah sertakan di setiap kesulitan yang menimpa.

Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang selalu bersyukur atas nikmat yang Allah berikan. Serta selalu bersabar dari setiap ujian yang Allah timpakan.

Nukilan: NAJIHAH SHAMILAH BT ZULKIFLI

KUASA 'MEMBERI'

KUASA ‘MEMBERI’
Oleh : Muhammad Zuhairi Abdul Ghapar




MEMBERI CONTOH
            Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam, maka ia akan memperoleh pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa dikurangi sedikitpun daripada pahala mereka dan sesiapa yang memberi contoh yang buruk dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang yang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa dikurangi sedikit pun daripada dosa mereka.” (Riwayat Muslim)

            Sebagai seorang pelajar, sewajarnya akhlak dan teladan yang luhur menjadi hiasan peribadi yang unggul dalam mencorak ummah sebagaimana yang telah ditonjolkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Seseorang itu tidak akan dikira berilmu sehingga dia beradab dengan ilmunya. Begitulah ketinggian adab yang patut kita ambil berat sebaiknya.

            Dalam satu hadis yang lain, Nabi s.a.w ada menyebut bahawa antara tiga perkara yang tidak akan putus selepas anak Adam meninggal dunia ialah sedekah jariah. Contoh teladan yang baik juga dapat memberikan pahala yang berterusan jika diamalkan oleh orang lain walaupun seseorang itu telah meninggal dunia dan ini termasuk dalam sedekah jariah.

            Oleh itu, berusahalah untuk menjadi individu yang terpuji kerana cerminan akhlak dan peribadi yang mulia akan menjulang kesejahteraan agama, bangsa, dan negara.

MEMBERI SALAM
            Daripada Anas r.a bahawasanya dia berjalan di kalangan beberapa orang kanak-kanak, lalu dia memberi salam kepada mereka dan katanya “Nabi s.a.w berbuat demikian.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

            Sunat memberi salam kepada sesama muslim tanpa mengira darjat, pangkat dan peringkat manakala menjawabnya pula adalah wajib. Kemuliaan seseorang tidak akan terjejas langsung apabila dia memberi salam kepada orang yang rendah martabat daripadanya bahkan bertambah haibah (kehebatan) dirinya.

            Sesungguhnya salam itu amat mulia yang hanya dikurniakan oleh Allah kepada orang Islam sahaja. Namun, dunia hari ini telah menjadikan salam itu sebagai satu bahan ketawa yang telah melarikan ia daripada maksud asalnya.

            Ingatlah ketika Nabi s.a.w menyampaikan salam Allah kepada isterinya Saidatina Khadijah, lantas beliau mengucapkan :

اللهم أنت السلام ومنك السلام وإليك يعود السلام فحينا ربنا بالسلام وأدخلنا الجنة دار السلام تباركت ربنا وتعاليت يا ذا الجلال والإكرام

Dan ucapan beliau ini telah dijadikan wirid selepas solat di negara kita.

MEMBERI ILMU
            Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (diletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada hari kiamat”. (Riwayat Abu Daud & at-Tirmizi)

            Islam sangat menghargai ilmu dan ulama, sehingga kedudukannya amat tinggi dan mulia dalam parameter Islam. Tuntutan menuntut ilmu adalah fardhu ain (wajib) bagi setiap muslim kerana Islam tidak mahukan penganutnya bekerja dan beramal secara taqlid (mengikut-ikut tanpa tujuan).

            Ilmu jika disebarkan tidak akan berkurang sedikitpun bahkan semakin berkembang konsep perbahasannya. Lain pula dengan harta, semakin dibelanja semakin berkurang. Kata Imam al-Syafie, “Sesiapa yang inginkan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang menginginkan kedua-duanya hendaklah juga dengan ilmu.”

KEBAHAGIAAN MEMBERI
            Daripada Abu Said al-Khudri r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa dia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan syurga, dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa dia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. Dan mana-mana mukmin yang memberi pakaian kepada seorang mukmin semasa dia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya daripada pakaian syurga.” (Riwayat at-Tirmizi)

            Hadis di atas menyarankan kita agar memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam keperluan asasi. Amalan ini akan menjamin kedamaian hidup manusia. Ketika orang lain memberikan bantuan kepada kita, terimalah bantuannya dengan hati yang ikhlas diiringi dengan senyuman dan ucapan terima kasih. Berusahalah membalasnya mengikut kemampuan masing-masing. Nabi s.a.w bersabda, mafhumnya, “Jika seseorang memberikan pertolongan, maka balaslah mengikut kemampuan sehingga kalian merasa telah membalasnya, dan jika tidak mampu, doakanlah ia dengan ucapan :

جزاك الله خيرا

            Berusahalah untuk lebih banyak memberi daripada menerima. Namun, apabila tibanya suatu masa untuk menerima, terimalah dengan hati yang tulus tanpa rasa rendah diri dan bertekadlah untuk membalasnya. Sesungguhnya saat kita menerima sesuatu, sebenarnya kita sedang belajar untuk memberi sesuatu.

MEMBERI ADALAH MENERIMA
            Terdapat banyak ayat al-Quran yang menceritakan perhitungan balasan bagi setiap perbuatan yang dilakukan anak-anak Adam. Perbuatan baik dan buruk setiap satunya akan dibalas dengan adil. Memberi dalam Islam termasuk zakat, infak, sedekah, amal soleh dan lain-lain. Apabila kita memberi kita juga sedang menerima sesuatu iaitu pahala atau dosa.

            Sesungguhnya kita tidak perlu menunggu kiamat untuk merasa betapa nikmatnya pahala dan azabnya dosa. Sekarang ini juga kita boleh merasa kenikmatan pahala dalam bentuk kepuasan jiwa, kebahagiaan dan ketenangan hati. Tidak akan ada orang yang jatuh miskin akibat memberi, dan tidak akan ada orang yang hilang senyuman bahagia kerana sering memberikan senyuman kepada orang lain. Oleh itu, sematkanlah ‘memberi’ dalam diri kita.
Selamat beramal!!!!
...................................................................................................................
Muhammad Zuhairi Abdul Ghapar
23 Mei 2017


*Sebarang komen atau cadangan boleh berhubung dengan penulis di muzbag_hifz@yahoo.com

SEBUAH PENGORBANAN

Kedengaran bunyi air menderu menghiasi ruang wuduk surau baik perempuan mahupun lelaki masing-masing sibuk mengambil wudhuk untuk menunaikan solat maghrib setelah berbuka puasa.
Manakala Hafiza sibuk mengangkat pinggan mangkuk dan membuang sisa makanan Jemaah surau itu acapkali mata mengerling ke arah jam di dinding menanti kedatangan ibunya dari rumah untuk menggantikannnya untuk menunaikan solat maghrib. Begitulah rutin Hafiza dan ibunya setiap kali Ramadhan menjelang kerana ibunya menguruskan kateringnya di surau tersebut.

Hafiza merupakan anak sulung dari tujuh orang adik beradik dan kecintaannya kepada ibunya sangat mendalam. Kesungguhan ibunya dalam membesarkan tujuh orang adik beradik setelah ketiadaan ayahnya membuatkan Hafiza sangat tekad untuk mengubah nasib kehidupan ibu dan adik-adiknya. Namun demikian, kehidupannya berubah apabila ibunya dimasukkan ke hospital dan tidak mampu lagi bekerja keras seperti dahulu. Hafiza masih melanjutkan pelajarannya di universiti dan masih tidak berpeluang membantu ibunya sepenuh masa di rumah. Sejak dari ibunya disahkan menghidap penyakit osteoporosis, semakin hari Hafiza terpaksa mencatu untuk menampung perbelanjaan di universiti dan bekerja sepanjang pengajiannya untuk menampung perbelanjaan persekolahan adik-adiknya.

Pelbagai cabaran yang Hafiza tempuhi untuk membantu ibunya. Namun, Hafiza merupakan seorang yang kuat semangat dan positif dalam mencapai cita-citanya. Ketika itu, ramai juga pemuda-pemuda di kampung yang ingin masuk meminangnya untuk membantu kehidupannya namun disebabkan fokusnya hanyalah kecintaan kepada ibunya ditolak semua pinangan kerana azamnya adalah selagi dirinya tidak mengenggam segulung ijazah. Maka, unsur-unsur yang menganggu gugat matlamatnya yang hadir dalam hidupnya ditepis dan dihindari kerana fokusnya adalah ibunya yang tercinta.

Ibu Hafiza tidak pernah terlepas setiap kali appointment dengan pakar perubatan kerana ibunya sentiasa mencari ikhtiar untuk mengubati penyakitnya dan meneruskan kehidupan bersama anak-anak tercinta. Melihat ketabahan Hafiza dalam berjuang menuntut ilmu dan menyara adik-adiknya membuatkan ibu Hafiza lebih bersemangat untuk sembuh dari penyakitnya. Kecintaan ibu kepada seorang anak tidak pernah dilupakan oleh Hafiza. Hafiza sangat ringan tulang, dia telah bekerja di sebuah pasaraya dan suatu hari ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya beliau melihat seorang mak cik tua sedang mengira duit dalam dompetnya untuk menaiki bas. Namun ketika mak cik tersebut berada di hadapan pintu bas dia tidak naik bas tersebut. Hafiza hairan dan mendekati wanita tersebut dan menanyakan :

“Kenapa mak cik tidak naik bas ini?”

Mak cik tersebut menjawab:

“Mak cik tidak cukup duit?”

Hafiza pun menawarkan wangnya kepada mak cik tersebut dan menaiki bas tersebut bersama-sama dengan mak cik tersebut. Mereka duduk bersebelahan di bas tersebut. Hafiza dan mak cik tersebut berbual bersama. Mak cik tersebut menanyakan Hafiza ingin kemana dan Hafiza menjelaskan dengan hemah setiap pertanyaan mak cik tersebut. Hafiza menyatakan bahawa dia ingin ke tempat kerjanya. Mak cik tersebut bertanya kepada Hafiza adakah Hafiza masih belajar. Hafiza menceritakan bahawa Hafiza adalah pelajar kolej ini dan bekerja ini adalah kerja sambilannya untuk menampung perbelanjaannya. Kemudian, Mak cik tersebut mengatakan bahawa dia juga adalah bekas pelajar kolej tersebut. Mak cik tersebut mengatakan bahwa dia adalah seorang peguam dan merupakan bekas hakim Lembaga Rayuan di sebuah majlis bandaraya. Hafiza tersentak sejenak di sudut hatinya memikirkan betapa merendah diri seorang peguam dan bekas hakim ini dengan tutur katanya yang lemah lembut.

Nampaknya bas sudah menghampiri destinasi yang ingin Hafiza turun. Hafiza menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan mak cik itu. Selepas itu, Hafiza berdiri untuk keluar dari bas tersebut kemudian mak cik tersebut menghulurkan kadnya dan menyuruh Hafiza datang ke pejabatnya esok pagi seawal jam 9 dengan membawa sekali transkrip peperiksaan. Hafiza hanya tersenyum dan mengucapkan salam kepada mak cik tersebut.

Hafiza masih terfikir adakah benar mak cik tersebut merupakan seorang peguam namun kad yang diberikan oleh mak cik tersebut namanya yang tertera disitu adalah Dato Shamsiah. Hafiza meneruskan kerjanya seperti biasa. Pada keesokan harinya, kuliahnya bermula jam 10 maka dia mengambil keputusan untuk pergi ke firma milik mak cik tersebut sebelum jam 10. Setelah sampai disitu, Hafiza disambut baik oleh pekerja di firma tersebut sambil membelek-belek akhbar di kerusi menunggu, mak cik yang ditemui kelmarin tiba dengan pakaian yang sangat professional dan sangat cantik.

Kemudian, Hafiza dipanggil masuk ke bilik Dato’ tersebut. Dato’ tersebut sangat berhemah dan melayan Hafiza dengan sangat baik. Dato’ tersebut menyerahkan sampul kepada Hafiza dan menyatakan kepada Hafiza bahawa dia akan menaja pengajian Hafiza di universiti. Pesanan Dato kepada Hafiza kasih sayang adalah rahmat dan pinjaman Allah. Hafiza mudahkan urusan Dato’ tersebut Allah mudahkan urusan Hafiza. Kecintaan Hafiza kepada ibu Hafiza membawa kasih sayang yang berlipat ganda kepada Hafiza. Kadang-kadang pengorbanan kita yang kecil membawa sejuta rahmat. Setiap perbuatan baik akan dibalas dengan baik. Kesabaran dalam menghadapi dugaan hidup akan membawa ganjaran yang tidak disangka. Sesungguhnya Allah pengatur terbaik dalam kehidupan.

 NUR FATIHAH ZAHIRAH BINTI AZIZI